Thursday, October 22, 2009

Tugasan Ku - Satu Malaysia Membina Negara Bangsa

Salam, sekali lagi aku menulis ... kali ini akan ku rangkumkan segala pemahaman ku setelah membaca dan menghayati apa yang dikatakan dengan Satu Malaysia ... untuk pensyarah ku yang budiman, yang telah banyak membantu .. En. Razali b. Ayob .. untuk muat turun softcopy sila klik.

1 Malaysia Membina Negara Bangsa.

Generasi berwawasan akan menjadikan negara kita mempunyai satu masyarakat yang mempunyai hala tuju, komited dengan matlamat serta mampu menghadapi apa jua rintangan demi mencapai impian. Generasi berwawasan juga mampu meletakkan tahap pencapaiannya dan menetapkan jangkamasa untuk beroleh kejayaan. Oleh kerana itu, YAB Perdana Menteri menggariskan wawasannya bagi membolehkan kita sama-sama mendokongnya demi survival umat, negara dan kelangsungan bangsa Malaysia pada masa hadapan. YAB Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak, menyatakan secara tegas bahawa ”Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan”, telah memulakan era baru dalam menganjak paradiqma rakyat. Kita harus memulakan langkah baru, setelah berhadapan dengan kecelaruan politik serta kekusutan maklumat sehingga mengganggu keamanan, keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia. Beliau menyedari kekuatan bangsa Malaysia dengan menyatakan ;

Malaysia unik kerana kepelbagaian kita dan berharap kita dapat mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.”

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020. 1Malaysia adalah penerusan agenda membina Negara. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. Tanpa perapduan yang luar biasa ini British tidak akan menyerahkan pentadbiran Tanah Melayu kepada orang Malaysia sendiri. Namun kepercayaan dan perpaduan orang-orang terdahulu yang bersama pemimpin mereka telah mengembalikan hak memerintah bumi Malaysia yang tercinta. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia. Demi mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Pada akhirnya wujudlah momentum yang hebat terbit atas dasar perpaduan yang tidak dinafikan kuat dan sentiasa memerlukan.

Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia adalah satu aspirasi sosio-politik masa depan yang sangat relevan bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan negara melalui perpaduan dan semangat bersama dalam kalangan rakyat yang berteraskan kepada beberapa nilai penting. YAB Perdana Menteri telah menggariskan lapan teras atau nilai utama bagi menjayakan konsep 1 Malaysia, iaitu berpengetahuan, intergriti, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, dan meritokrasi. Kelapan-lapan nilai teras ini diadun sebagai formula utama dalam usaha mencapai Wawasan 2020. Bagi mencapai aspirasi ini lapan nilai teras di atas perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap lapisan rakyat.Asas kepada semua teras atau nilai ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, bermaksud semua kaum akan terbela dan tiada sesiapapun akan terpinggir atau dipinggirkan. Keadilan mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan. Mana-mana rakyat yang miskin yang memerlukan pembelaan perlu dibantu tanpa mengira siapa yang harus membantunya.

Usaha Perdana Menteri mengusulkan konsep membentuk satu bangsa Malaysia yang sejahtera dan makmur melangkaui tahap toleransi yang diterima umum selama ini tentunya berdepan dengan pelbagai pandangan berbeza kerana masing-masing pihak boleh bersuara berlandaskan demokrasi. Jadi tidak hairanlah, rakyat masih kabur dengan hala tuju yang ingin diketengahkan itu sebagai kesinambungan daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, yang memacu kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan negara sejak lebih setengah abad lalu. Namun, seperti yang dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, pengisian konsep 1Malaysia akan melalui proses evolusi bagi membolehkan rakyat memahami, menghayati dan bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan. Sebagai rakyat berbilang kaum, setiap pihak berusaha untuk mempertahankan haknya supaya tidak terhakis. Jadi jaminan kerajaan untuk tidak mengetepikan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan soal bahasa, agama dan hak keistimewaan selain kontrak sosial yang selama ini menjadi pegangan semua rakyat, wajar dihargai.

Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Seperti dijelaskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib, konsep “1 Malaysia” bermaksud kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Ini bermakna cara pemikiran dan bertindak kita mesti keluar daripada cara bertindak dalam tembok atau kepompong etnik. Contohnya, jika kita memperjuangkan soal kemiskinan, maka kemiskinan itu mesti dilihat merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, ladang, kampung baru atau kumpulan orang asli. Daripada lensa pembangunan, konsep dan falsafah “1 Malaysia” adalah berteraskan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Kerajaan tetap mengiktirafkan sumbangan semua kaum. Setiap rakyat tanpa mengira warna kulit bebas menyertai arus pembangunan negara. Kesaksamaan untuk semua kaum adalah sesuatu yang amat ditekankan oleh kerajaan. Negara mempunyai sejarah, tradisi dan warisan budayanya tersendiri. Semua resipi ini disalut dan diterap dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, YAB Dato’ Sri Mohd Najib sudah pun menegaskan bahawa apa yang terkandung dalam Perlembagaan Negara tetap menjadi prinsip dan landasan dalam menterjemahkan konsep terbabit. Ini bermakna semua fasal yang ditakrifkan sebagai hak istimewa orang Melayu tetap dipelihara kerana hak-hak terbabit tidak sedikit pun menafikan hak kaum lain. Apa yang nyata ialah konsep “1 Malaysia” bertemakan perpaduan rakyat. Perpaduan dalam kepelbagaian mendasari elemen kemajmukan rakyat di negara yang penuh citrawarna ini.

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Secara tuntasnya, apabila YAB Dato’ Sri Mohd Najib menjadikan konsep dan falsafah baru itu sebagai landasan pentadbirannya adalah untuk memberi “nafas segar” kepada barisan kabinetnya serta menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama berganding bahu dengan kepemimpinan negara. “1 Malaysia” adalah aspirasi untuk memperbaiki, memantap dan memperkasa hubungan kaum bagi memastikan rakyat di negara ini membina dan menjalin persahabatan berasaskan rasa hormat menghormati dan percaya mempercayai. Kini, perjuangan untuk mengekalkan seterusnya mengeratkan perpaduan kaum adalah terletak di bahu kita sebagai warga yang menyayangi nusa dan bangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment